Kunjungan ke rumah mentua pada suatu petang, membuatkan hatiku tergerak untuk memaparkan pakaian Tradisi Kaum Rungus yang dihasilkan sendiri oleh Pn Talivoi Rumamban dari Kg Palapag, Jln Kanibongan, Pitas.
Beliau menyatakan bahawa keinginannya untuk membuat sendiri pakaian tersebut, cumalah sebagai satu pengisian masa lapang.
Tapi yang paling penting, sebagai ' pongimatan '(tanda kenangan) akan hasil kerjanya oleh sekalian zuriat dan keturunannya suatu hari nanti.
a ) Pakaian Tradisi Wanita Rungus
Kualiti gambar di bawah 'par' :D
Dia telah menghasilkan lebih kurang 8 lagi set pakaian seperti ini, tetapi sudah diberikannya kepada anak-anak perempuan, menantunya dan cucu-cucu perempuannya. Dia kata dia belum lagi terfikir untuk membuat sendiri pakaian tradisi untuk lelaki selain tengkolok yang dia sulam sendiri untuk suaminya.
Menurutnya lagi, adalah satu kepuasan dan kebanggaan bagi dirinya apabila melihat hasil kerjanya dipakai oleh orang-orang yang dia sayangi.
Ini gambar salah seorang daripada cucunya.
Apabila ada majlis-majlis atau pun aktiviti sukan di sekolah, pakaian ini menjadi pilihan apabila dia ditugaskan sebagai pemegang spanduk kerana cucunya ini sudah memiliki sendiri satu set pakaian walaupun masih ada yang perlu ditambah seperti Titimbok dan Sisingal yang dipakaikan di kepala serta saring Longon.
Saring Longon menurut Pn Talivoi, dewasa ini amat sukar didapati. Harganya agak mahal lebih kurang RM 400 dan ke atas.
b) Mengenal Aksesori Pakaian Rungus
A- Torot
B - Pinakol - sepasang.
- dipakai secara bersilang di bahu
C - Togkol ( sasandangon ) - sepasang
- dipakai secara bersilang di bahu
D - Sinusuk/ sisingal
E - Santak tinggol
F - Tinggol Togkol
G - Sulau
Corak pada pinakol, bermotifkan benda hidup- manusia,
flora- cth bunga dan fauna-cth cicak.
Menurut Pn Talivoi, pemilihan corak benda hidup - manusia
ini adalah berdasarkan kepada cerita pada suatu ketika dulu
tentang kemunculan seorang pemuda yang terkenal dengan
keberaniannya serta kepahlawanannya menentang
'karaatan'- kejahatan bagi memastikan kesejahteraan orang rungus
pada ketika itu.
Corak manusia pada pinakol |
c) Membuat Torot
Berikutnya, aku sempat melihat bagaimana Pn Talivoi
membuat Torot, yang sememangnya cara tradisional dan
memerlukan kesabaran dan ketelitian.
i - Bahan-bahan untuk menghasilkan torot;
Bahan asasnya adalah manik-manik.
Pn Talivoi cenderung menggunakan manik-manik keemasan untuk
membuat Torot. Beliau menyatakan warnanya 'osindak'-menyerlah
dan cantik.
Selain itu manik-manik warna putih,kuning, merah,coklat
dan hitam juga digunakan sebagai penyeri. Dan pastinya mesti ada
benang/ tangsi, gunting dan jarum.
ii - proses;
Kain dipotong mengikut ukuran si pemakai sebagai alas untuk
melekatkan manik-manik, kemudian dipasangkan kepada acuan kayu
berbentuk 'A', yang dilapisi dengan span dan dari situlah manik-manik
dijahit satu-persatu.
Bahagian dalam Torot |
iii - pemasangan zip pada Torot;
iv- antara Torot yang sudah siap dan masih dalam proses;
Di hujung Torot itu, dijahitkan Tambagat (pemberat) iaitu
manik-manik yang kadang kadang diselang-selikan dengan lonceng.
c) Banat Ongolitan - Babaal (disulam)
A Banat ongolitan
- Banat (Baju) ini disulam secara
manual menggunakan alat khas.
( saya pernah melihat Pn Talivoi
menyulam salah satu banat ini menggunakan
alat khas, tapi malangnya masa itu, belum
terfikir untuk mengambil gambar..)
- Benang-benang sulam pelbagai warna di
potong panjang, kemudian disisipkan satu persatu
secara berselang seli-penuh ketelitian untuk
menghasilkan corak yang sempurna.
- Banat ini dipakai dengan cara melilitkannya
pada badan si pemakai lalu di cangkukkan pada
cangkuk yang dipasang supaya tidak terlurut.
Kadang-kadang hanya menggunakan pin
baju sahaja.
B Longon banat ongolitan
d) Tapii;
Tapii ( skirt/kun ) pakaian rungus ini mempunyai
namanya tersendiri berdasarkan sulaman yang dibuat pada
tapii tersebut yang mana menentukan nilai tapii itu.
Menurut Pn Talivoi, Tinongkupan berada di tempat
teratas dan paling mahal. Ianya mempunyai sulaman yang besar
/ banyak, yang mana suatu ketika dulu hanya dipakai oleh
golongan bangsawan. Dahulu, ianya dijual sekitar RM500.
Gambar di atas adalah tapii kinoriki, mempunyai
corak atau sulaman yang agak besar. Dahulu ianya
dianggarkan berharga sekitar RM400. Di hujung tapi
tersebut dipasangkan giring-giring(loceng)
Gambar di atas adalah tapii Rinugading.Ianya
mempunyai corak yang agak sedikit/kecil berbanding
tapii Tinongkupan dan tapii Rinugading.
Sementara itu, Tapii kebiasaan yang sering dipakai oleh
wanita rungus, yang kadang-kadang tidak mempunyai sulaman
di panggil tapii Pinodtung dan Tinonimbibidan.
Extra: How to 'Mangavol'- The mini Pictures show..the brain speaks!
Menurut suatu sumber yang dikenalpasti, satu set pakaian lengkap wanita rungus, dewasa ini dianggarkan bernilai rm 3-4 ribu. Tidak hairanlah dengan harga ini memandangkan proses dan bahan-bahan mentah untuk membuat pakaian ini sukar didapati pada masa sekarang.
Penutup;
Pakaian tradisi kaum rungus sememangnya kaya dengan
nilai estetikanya yang tersendiri. Ianya harus dipelihara sebagai
warisan kesenian agar dapat dikekalkan dan dihayati oleh setiap
generasi akan datang.
Adalah sesuatu yang merugikan dan menyedihkan andaikata
nilai seni ini hilang begitu sahaja seiring perginya para pelopor berkemahiran..boleh dikatakan 'genius' dalam menghasilkan pakaian tradisional ini.
CHAYOOOooo...!
Lastly; Tengkiu pada mentuaku (Pn Talivoi Rumamban)
yang menjadikan Blog mengenai Pakaian Tradisi
Kaum Rungus ini terhasil..!
LEBIU.
No comments:
Post a Comment