Zaman dulu-dulu di kawasan perkampungan, khususnya bagi kaum Rungus di Sabah, tiada mesin-mesin atau ciptaan-ciptaan canggih untuk memudahkan kerja-kerja harian sepertimana yang ada sekarang. Generasi dahulu terpaksa berkarya kreatif dalam penciptaan alat-alat sendiri untuk digunakan bagi membantu mereka melakukan kerja-kerja harian, khususnya dalam hal mengisar jagung.
Beras agak sukar didapati apatah lagi dalam keadaan kemarau. Justeru jagung merupakan bahan makanan sebagai alternatif menggantikan beras dan ubi. Kadang-kala butiran jagung dicampurkan bersama beras untuk dimasak bagi tujuan penjimatan beras yang ada di samping penghasilan bahan makanan yang beraroma wangi dan menyelerakan.
Jagung perlu dikisar untuk menjadikannya butiran-butiran halus agar cepat ditanak dan senang pula dikunyah.
Alat 'Kisaran' yang sering digunakan pada suatu ketika dahulu, kini jarang sekali ditemui dalam keadaan yang sempurna. Malahan bukan semua orang masih menyimpannya. Hal ini disebabkan oleh faktor ekonomi khususny masyarakat berbangsa Rungus, semakin meningkat. Mereka dengan mudah dapat membeli bahan-bahan makanan khususnya beras sebagai makanan ruji.
Saya bernasib baik kerana masih sempat melihat 'kisaran' ini secara live digunakan oleh generasi lama di satu kawasan perkampungan daerah Pitas. Ternyata masih ada generasi lama yang menggunakan alternatif tradisional untuk mengisar jagung.
Walau bagaimanapun, jagung yang dikisar bukanlah untuk dijadikan makanan ruji, tetapi sekadar mengimbas kembali makanan yang pernah dimakan suatu ketika dahulu iaitu mencampurkan sedikit butir-butir jagung dengan beras untuk ditanak: beras dimasak dan di'langot' dengan butiran jagung.
Selain itu, lebihan jagung akan dikisar untuk kegunaan makanan haiwan peliharaan seperti ayam, malahan anjing.
Kisaran jagung ini diperbuat daripada kayu. Ianya seakan-akan batang kayu yang besar dipotong pada dua bahagian dengan masing-masing ketinggian pada 10'', di 'santak' (ditindihkan) antara satu sama lain pada bahagian kayu yang dipotong.
Kisaran jagung tradisional |
Pada bahagian atas kisaran jagung, dipahat bagi menghasilkan bentuk melengkung untuk memudahkan butir jagung melalui corong yang dibuat di tengah-tengah kisaran tersebut, seterusnya terserak di antara lapisan kisaran atas dan bawah untuk dihancurkan. Tuil yang bertindak sebagai alat pemegang kisaran digerakkan dalam pusingan bulatan lawan arah jam untuk membolehkan wujudnya geseran di antara kedua-dua bahagian kisaran untuk menghancurkan/ mengisar jagung.
Pada bahagian kisaran tersebut bergeser, dibenamkan potongan-potongan besi yang bertindak sebagai 'gigi' kisaran untuk mengisar atau menghancurkan jagung. Contohnya besi daripada kuali yang tidak digunakan di'reuse' untuk dijadikan 'gigi' kisaran. Potongan-potongan besi tersebut dibenamkan mengikut susunan atau aluran tertentu yakni secara berpunca dari bahagian tengah.
Potongan besi dibenamkan pada kisaran jagung. |
Semakin besar potongan kayu atau kisaran di bahagian atas, semakin baik ianya mengisar jagung kerana lebih banyak tenaga geseran terhasil untuk menghancurkan atau mengisar jagung.
Apabila kisaran ini digunakan, biasanya diletakkan di tengah-tengah bakul bulat yang disebut 'Raza' atau 'nyiru'. Ini untuk memastikan butiran jagung yang keluar pada bahagian kisaran yang bergeser dapat ditadah.
Sedang mengisar jagung |
Cara yang sama menggunakan Kisaran, diaplikasikan apabila mengisar padi, yakni memisahkan padi dengan kulitnya untuk menghasilkan beras. Yang membezakan adalah 'gigi' kisaran iaitu benaman potongan-potongan besi tidak digunakan. Bermakna perlukan kisaran khas untuk mengisar padi pula. 'Gigi' kisaran digantikan dengan alur halus yang dipahat secara bertumpu pada bahagian tengah padapada kedua-dua bahagian kisaran yang bergeser. Padi yang dikisar perlu ditumbuk. Ini dinamakan 'mongorigas'. Hampas-hampas padi dibuang dan aktiviti 'mongorigas' ini dapat menghasilkan butir-butir beras yang berkilat, halus dan sedap dimakan ( tidak apahag' ).
Penutup.
Kisaran jagung mahupun kisaran padi biasa terdapat di rumah-rumah panjang suku kaum Rungus di Sabah pada suatu ketika dahulu. Aktiviti mengisar jagung dan padi mengeratkan hubungan para penghuni rumah panjang dengan aktiviti mengisar sambil bercerita dan amalan saling tolong- menolong antara satu sama lain.
Kini, peralatan tradisional ini amat jarang sekali ditemui. Kisaran merupakan satu lagi contoh karya tradisional yang kreatif daripada generasi lama dalam usaha mereka mencari alternatif bagi memudahkan kerja-kerja harian.
......................................end.
Terima Kasih untuk;
i) Gambar & video - Cikgu Jony Dodong
ii)Idea Penulisan - Cikgu Raymon Malupin, Cikgu Juwi Jina dan Cikgu Johnny Mojuhi
GBU.
No comments:
Post a Comment